Wednesday, May 5, 2010

BULETIN BULAN MEI

STRESS DAN ANDA

Pengenalan

Jika anda mempunyai symptom-simptom stress anda bukanlah berseorangan di dunia ini yang menghadapi masalah seperti ini. Sebanyak 85% dari mereka yang datang jumpa doktor (peratus yang agak sama juga datang berjumpa ahli psikologi) mengadu bahawa mereka mengalami stress/tekanan. Apabila anda selalu mengalami stress/tekanan anda berkemungkinan besar akan mengalami sakit kepala, ulsers, insomnia (tak boleh tidur), keletihan, darah tinggi, sakit bahu dan berbagai jenis sakit yang disebabkan stress. Dalam kehidupan seharian, kita mengalami seribu macam keadaan di mana jantung kita berdegup dengan kuat, badan (terutama bahagian tangan) terasa sejuk, berpeluh dan otot menjadi tegang. Contohnya apabila kita diminta bercakap di khalayak ramai jika kita jadi gementar terutamanya jika kita jarang sekali berbuat demikian. Ini menjadi lebih teruk jika orang yang kita hadapi itu merupakan orang yang asing bagi kita.

Bagaimana kita boleh stress?

Setiap hari kita mungkin mengalami di antara 50 hingga ke 200 kali situasi-situasi yang menyebabkan kita berada di dalam keadaan cemas seperti yang dihadapi oeh datuk nenek kita dahulu apabila mereka berhadapan dengan binatang buas atau musuh dari puak lain. Para penyelidik mendapati apabila kita berhadapan dengan situasi yang menimbulkan stress badan kita akan menyediakan respons ‘fight-or-flight’ dan keadaan ini mungkin memakan masa di antara 20 hingga 30 minit sementara badan kita mengambil masa di antara 2 hingga ke 3 jam untuk menjadi normal semula. Jadi jikalau keadaan seperti ini berlaku terlalu kerap maka kita dapati tiada ruang bagi badan kita untuk kembali kepada tahap normal. Keadaan ketegangan ini kian hari kian bertambah sehingga ia menjadi bertimbun dan mengakibatkan kita berasa letih, sakit bahu dan kesakitan-kesakitan lain. Walaubagaimanapun keadaan yang kita hadapi untuk menimbulkan respons ‘fight-or-flight’ tidaklah sama seperti yang dihadapi oleh datuk nenek kita dahulu. Keadaan yang kita hadapi mungkin merupakan tugasan-tugasan yang banyak, kesempitan kewangan dan masalah-masalah kehidupan harian yang lain.

Sebenarnya gaya hidup kita boleh menyebabkan kita sentiasa berada di dalam keadaan stress. Kebanyakan dari kita telah dilatih semenjak kita kecil lagi untuk bertindak pada tahap yang sebaik-baiknya. Bila kita tidak mencapai apa yang diharapkan maka kita akan kecewa. Semua ini mendatangkan tekanan kepada kita. Kebanyakan daripada kita akan bertindak kepada sistem otot-otot lebih daripada sistem-sistem yang lain. Contohnya apabila kita teringat tugasan yang diberikan kepada kita oleh pensyarah bila kita bangun pagi kita akan merasa sengal-sengal badan. Jika usaha-usaha kita pada hari itu menghadapi kesulitan (umpamanya kita gagal mendapat buku yang kita cari di perpustakaan) ketegangan kepada otot-otot kita akan menjadi lebih ketara. Biasanya kita memerlukan 20 minit untuk mengendurkan otot-otot kita. Tindakan kita terhadap rangsangan-rangsangan kepada diri kita secara yang disebutkan tadi menyebabkan tiada ruang masa untuk otot-otot kita untuk kendur.

Apakah yang patut kita buat?

Perkara yang penting bagi kita lakukan ialah untuk menguruskan diri kita secara efisen. Pada asasnya sebahagian besar dari anda (pelajar) terpaksa hidup berdikari dan kegagalan untuk menguruskan kehidupan harian adalah punca utama stress. Menangguh kerja, kekurangan wang, konflik dengan sabahat/kekasih, masalah kekeluargaan dan berbagai lagi situasi adalah perkara-perkara yang biasa kita hadapi. Kejayaan kita menguruskan perkara-perkara ini dengan baik akan menentukan tahap stress kita. Dengan perkataan lain bagaimana kita menguruskan tekanan adalah cara utama untuk mengurangkan tahap stress yang kita alami.

Kunci untuk menghadapi segala masalah ini adalah dengan mempelajari dan mempraktikkan cara untuk relaks semasa kita menghadapi stress dalam kehidupan kita setiap hari. Otot-otot di beberapa bahagian badan kita boleh dikendurkan ketegangannya dengan melakukan latihan relaksasi di beberapa bahagian tertentu. Bahagian-bahagian utama yang kita tumpukan adalah tangan, lengan, muka, bahu perut, peha dan kaki. Anda adalah disarankan untuk melakukan latihan relaksasi setiap hari sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali pada permulaannya dan boleh mengurangkannya apabila anda telah memperolehi kemahiran relaksasi.

Program Kepimpinan Pengawas

USTAZAH SOFFIYAH MENYAMPAIKAN SLOT KEPIMPINAN MENURUT PANDANGAN ISLAM


CIKGU NADZMI PULA SELAKU GURU DISIPLIN MENYAMPAIKAN SLOT KEPIMPINAN.


CIKGU JAMILAH, SELAKU GURU B&K MEMBERI ILMU MENGENAI CABARAN-CABARAN PENGAWAS HARI INI


CIK LATIFAH SELAKU GURU PENOLONG KANAN HEM MERASMIKAN MAJLIS


WAJAH-WAJAH CERIA ANAK-ANAK SMRA CHUAH, TATKALA MELIHAT VIDEO KHAS PENGAWAS SEKOLAH YANG MENCUIT HATI

Pada 3hb mei yang lalu, satu Program Kepimpinan Pengawas telah dilaksanakan. Program ini dibuat khas untuk melatih dan memberi maklumat kepada pelajar mengenai kepimpinan sejati serta tugas pengawas di sekolah. Pengawas adalah antara organisasi yang menjadi tulang belakang pihak sekolah. Pemantapan organisasi pengawas akan menjadikan organisasi ini berfungsi dengan lebih baik sejajar dengan kehendak pihak sekolah. Oleh itu, program ini diharap dapat memantapkan organisasi ini seterusnya melahirkan pemimpin masa akan datang yang penuh dengan karisma. Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling ini merupakan usahasama dengan Badan Disiplin dan Unit Perpustakaan Sekolah.Program Kepimpinan ini juga dibantu oleh Cikgu Nurul Ain dan Cikgu Norizan. Tujuannya tetap sama;iaitu melatih pelajar menjalankan tanggungjawab sebagai badan pengawas atau pustakawan dengan baik. Secara keseluruhannya Program mendapat sambutan yang baik dikalangan pelajar. Berdasarkan reaksi mereka sepanjang Program berlangsung, pelajar dilihat memberi sepenuh tumpuan serta tertarik dengan kandungan, penyampaian dan aktiviti yang dijalankan.

BULETIN BULAN APRIL


CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.

2. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

3. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan PMR.

4. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).

5. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.

6. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

7. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

8. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.

9. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar.

10. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

11. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

12. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

13. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

14. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

15. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.

16. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

17. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.

18. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

19. Mengikuti BENGKEL-BENGKEL peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.

20. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

21. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

22. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

23. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.

24. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

25. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

26. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

27. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.

28. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.


SUMBER:BLOG GURU PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN